IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap tiga ekor gajah liar yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk Kampung Ulu Chemor di sini, Jumaat lalu. Gajah yang diberi nama Mek Chemor, Mat Manjoi dan Mat Kinta itu dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum dengan bantuan dua ekor gajah denak betina Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh pada Selasa. Ketua Unit Gajah PKGK Nasharuddin Othman berkata terdapat sekumpulan gajah dipercayai telah sesat dari Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput dan memasuki kawasan kampung berkenaan sejak Februari lalu. "Kampung tersebut pertama kali diserang gajah dan pada Khamis lalu penduduk kampung sekali lagi membuat aduan apabila mendapati tanaman mereka dimusnahkan oleh haiwan berkenaan. "Seekor ibu gajah berumur lingkungan 35 tahun seberat tiga tan serta dua anak gajah jantan berumur tiga tahun berjaya ditangkap, namun beberapa lagi gajah yang terlepas masih dijejaki," katanya yang mengetuai 19 anggota Perhilitan Perak dan PKGK pada operasi pemindahan haiwan itu. Dalam pada itu, Nasharuddin turut mengingatkan penduduk kampung agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan gajah kerana ia hanya akan mengundang bahaya. Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Datuk Aminuddin Md Hanafiah memuji kecekapan pihak Perhilitan Perak dan PKGK dalam usaha menangkap haiwan itu. Menurutnya, tindakan pantas kedua-dua pihak itu bukan sahaja dapat mengelakkan keselamatan penduduk daripada terancam, malah meminimumkan kemusnahan tanaman petani seperti kelapa sawit selain kolam ikan oleh haiwan liar itu. - BERNAMA