ALOR SETAR: Impian seorang remaja lelaki yang menghidap kanser tulang tahap empat berjumpa pemain bola sepak Kedah, tercapai apabila skuad Lang Merah itu bertandang ke rumahnya di Kampung Teluk Jamat, Pokok Sena, Khamis. Putra Zul Arwan, 14, yang merupakan peminat setia skuad Lang Merah itu terkejut dan teruja menyambut kedatangan 11 pemain Kedah ke rumahnya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi. Antara pemain yang hadir ialah Sabri Abu, Shafizam Hashim serta dua pemain import baharu Kedah, Thiago Augusto dan Shane Smeltz. Ibu saudaranya, Mastura Mohd Nasir, 34, berkata Putra yang tinggal di Subang, Selangor pulang ke Kedah untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Polis Diraja Malaysia pada 30 September lalu. "Putra pulang ke Kedah semata-mata mahu ke Stadium Darul Aman menyaksikan perlawanan itu secara langsung, namun pada saat akhir kami terpaksa membatalkan hasrat membawanya ke stadium kerana keadaannya yang agak tenat. "Kecewa kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium, Putra menangis di rumah dan selepas itu keadaan kesihatannya semakin merosot," katanya kepada pemberita di sini. Mastura berkata Putra yang disahkan menghidap penyakit itu ketika berumur 12 tahun kini tinggal sementara bersamanya setelah ibu Putra, Fauziah Salleh, 40, bimbang dengan keadaan tangan dan bahu kiri anaknya yang semakin membengkak. Sementara itu, Pegawai Logistik Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Mohd Sazali Mohd Sobri berkata beliau berbesar hati menunaikan hasrat Putra berjumpa pemain Kedah setelah ibu Putra menyatakan hasrat tersebut menerusi media sosial. "Kita buat persediaan pada saat akhir dan pemain juga bersetuju berjumpa serta menunaikan hasrat Putra dengan harapan dia dapat kembali sihat dan bersemangat untuk melawan penyakit yang dihidapinya," katanya. Mohd Sazali berkata KFA akan mengatur supaya Putra dapat dibawa menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dan Felda United pada 22 Okt ini serta akan dibawa berjumpa dengan pemain di bilik persalinan nanti.