KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh yang mayatnya dibaluti dengan tilam dan ditutup dengan pakaian di Flat Danau Kota, Setapak di sini tengah hari Khamis. Jirannya yang dikenali sebagai Liew, 55, berkata beliau sering mendengar bunyi pergaduhan dari rumah lelaki berusia 58 tahun itu yang tinggal bersama seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun. "Saya juga selalu melihat seorang lelaki dipercayai warga Pakistan di rumah itu. Pernah satu ketika pemandu teksi itu menjerit dan menghalang lelaki warga asing itu daripada memasuki rumahnya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata laporan mengenai penemuan mayat itu diterima kira-kira 12.40 tengah hari.