PUTRAJAYA: Kehangatan Hari Sukan Negara 2016 semakin dirasai terutama apabila ia bakal diraikan serentak di seluruh negara dengan penuh meriah dan semangat kesukanan. Semestinya, persiapan seperti pentas utama yang bakal digunakan untuk perasmian, khemah-khemah dan 'booth' juga telah siap dipasang disepanjang Persiaran Perdana di sini. Hari Sukan Negara yang bakal disambut pada 8 Oktober ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan sebagai langkah proaktif dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah 'Negara Bersukan'. Menurut salah seorang peserta raptai, Sabrina Mohd Samin yang berada di Dataran Putrajaya sejak pukul 9 pagi lagi, hujan renyai tidak menghalang dirinya untuk bersama-sama dalam raptai penuh yang dijalankan sebagai persediaan memastikan perasmian berlangsung dengan lancar. "Antara acara yang paling saya nantikan adalah acara kayuhan basikal oleh Perdana Menteri kita sendiri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama peserta yang lain menuju ke Istana Kehakiman di sini", katanya. Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan, pelbagai aktiviti telah disediakan khas buat pengunjung. Menariknya mengenai penganjurannya kali ini, orang ramai yang hadir ke majlis pelancaran di Putrajaya Sabtu ini berpeluang bermain badminton bersama Datuk Lee Chong Wei, angkat berat dengan Ziyad Zolkefli atau speed test dengan Muhammad Ridzuan Puzi. Bagi Mazhan Mujail pula, beliau menantikan program seni mempertahankan diri yang bakal menyaksikan pemilihan peserta menyahut cabaran dalam Malaysia Book Of Records (MBOR). Selain itu, penganjuran acara tahunan berskala besar kali ke-2 ini menjangka tujuh juta penyertaan atau 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia dengan 22,000 acara sukan dan riadah. Bagi anda yang mempunyai masa terluang jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama dengan atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 yang bersedia di gelanggang untuk menyahut cabaran anda.