suria

Penghuni Rumah Orang Tua Dakwa Didera

MELAKA: Penghuni All Mighty Old Folks mendedahkan berhubung dakwaan berlakunya penderaan sepanjang menetap di rumah kebajikan yang terletak di Klebang itu.

Dakwaan itu mengenai penjaga rumah kebajikan itu yang kerap mendera dan melayan mereka seperti banduan dan pergerakan  dikawal umpama boneka.

Suffian Mat Syah, 62, mendakwa tahun lepas, salah seorang penghuni, Marcus Samy mengalami strok selepas didera  penjaga terlibat.

Menurutnya, Samy yang berusia 70 tahun dikejarkan ke Hospital Melaka dan meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

“Saya sendiri melihat penjaga menderanya dengan menolak kepala Samy ke lantai.

“Saya tidak pasti punca dia mati, tetapi sehari sebelum kejadian saya mendengar penjaga itu menjerit “biar dia mati”.

“Dengan itu, saya meminta supaya kes itu disiasat semula oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Suffian kini berada di rumah orang tua di bandar Cheng, yang dikelola oleh pihak kerajaan selepas penutupan sementara rumah All Mighty Old Folks.

Tambahnya, penderaan Samy disaksikan beberapa penghuni yang lain, tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, kerana takut dikecam.

“Sekarang kami tidak gentar lagi kerana penjaga  itu telah ditangkap,” katanya.

Menurutnya, laporan terhadap penjaga dibuat  bekas pekerja rumah kebajikan itu pada 4 Oktober.

Sementara itu, bekas penghuni rumah kebajikan itu, Baharudin Mahmod, 54, meluahkan rasa lega selepas penjaganya  ditangkap.

“Di sana, hidup kami tidak bebas. Kami tidak dibenarkan untuk menonton televisyen mahupun bersosial. Malahan, kami hanya dibenarkan duduk di luar dalam jangka masa yang pendek.

“Hidup kami seperti dalam neraka. Tiada sesiapa yang mahu percayakan keluhan kami kerana penjaga akan berpura-pura melayan kami dengan baik ketika ahli keluarga serta sukarelawan datang melawat,” jelasnya.

Baharudin yang serumah dengan Suffian menyatakan sekarang ini dia rasa seperti hidup semula, dan bebas berjalan tanpa dimarahi dan dikawal orang.

“Penjaga selalu memukul kami dan memberikan amaran untuk merahsiakan  perkara ini. Jika tidak, kami akan dihukum,"kata dia.

Paparan video All Mighty Old Folks dirakam oleh seorang saksi menjadi viral selepas dimuat turun di laman sosial.

Penderaan itu berpunca daripada kekerapan mangsa pergi ke tandas, dan penjaga itu rimas atas tingkah laku wanita tua itu.

Hamdan Aspan, 55, berkata mangsa yang berumur 70 itu kerap pergi ke tandas semasa kejadian kerana mengalami sakit perut.

"Perkara kecil seperti itu pun boleh dijadikan isu. Ini kerana penjaga hanya ingin lihat kami kaku seperti anak patung dan hanya bergerak jika disuruh," tambahnya.

Ketua polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan dakwaan penghuni tentang salah laku penjaga serta kehilangan dana yang disumbangkan orang ramai.

Penjaga yang berumur 56 tahun itu direman sehingga Sabtu.

 
All Mighty Old Folks, Klebang

Artikel Lain