suria

Muhyiddin Silap Besar Jika Fikir Orang Mudah Lupa - Salleh

Salleh Said Keruak.

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapati bahawa apa yang dikatakannya pada masa lalu dan apa yang dikatakannya sekarang akan dibangkitkan dan percanggahan di antara 'dahulu dan sekarang' pastinya sangat ketara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, jika Muhyiddin fikir orang akan lupa tentang apa yang dikatakan dahulu dan percanggahannya dengan apa yang dikatakan sekarang maka, beliau tersilap besar. Dengan zaman internet atau era media sosial, katanya orang akan ingat tentang apa yang dikatakan Muhyiddin walaupun selepas beberapa dekad berlalu - dan jika tidak ingat, mereka boleh menyelidik dan mengetahuinya.

"Jadi, anda bukan sahaja perlu berhati-hati dengan apa yang anda katakan, tetapi anda harus ingat apa yang anda katakan pada masa lalu.

"Calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terpaksa berdepan dengan situasi sukar ini dan sekarang, beliau terpaksa memohon maaf atas apa yang dikatakannya pada masa lalu, yang kini menjejaskan kempennya," kata Salleh menerusi posting terbaharu dalam blog beliau pada Sabtu.

Calon presiden Parti Republikan itu Sabtu memohon maaf kerana menyampaikan ucapan seksual yang kasar dan agresif mengenai wanita pada 2005 susulan video menggemparkan disiarkan oleh The Washington Post pada Jumaat.

Salleh berkata sudah tentu, rakyat akan memahami apa yang Muhyiddin katakan pada masa lalu adalah atas kapasiti beliau sebagai pemimpin Umno, namun apa yang dikatakannya kini adalah sebagai musuh Umno.

Sebagai contoh, katanya, dalam hanya beberapa bulan sahaja bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengubah nadanya dengan menyatakan apa yang cuba dilakukannya dahulu adalah kerana sayangkan Umno dan sekarang, beliau cuba memastikan Umno berkubur buat selama-lamanya.

"Tidak syak lagi Mukhriz cuba menjustifikasikan tindakan beliau seperti peribahasa Melayu menyatakan 'menegakkan benang basah'.

"Tetapi jika Mukhriz tidak dipecat daripada Umno, adakah beliau akan mengubah nadanya? Jadi, ini bermakna ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kesetiaan kepada parti sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi," kata Salleh.

Salleh berkata, Muhyiddin juga lebih mementingkan keperluan politiknya sendiri berbanding kepentingan negara.

"Pada masa lalu, beliau (Muhyiddin) berkata beliau mendahulukan kepentingan Melayu dan semua yang lain sebagai perkara kedua.

"Sekarang, beliau berkata PAS perlu bekerjasama dengan DAP untuk membantu menghancurkan Umno. Muhyiddin juga menyatakan tanpa bantuan DAP, PAS tidak dapat memenangi banyak kerusi," katanya.

Salleh mempersoalkan bagaimana Muhyiddin mengharapkan PAS dan DAP untuk sekali lagi 'tidur sebantal' sedangkan isu yang menyebabkan perpecahan masih berlarutan.

"Adakah Muhyiddin menyatakan bahawa PAS harus menarik balik rang undang-undang pindaan Mahkamah Syariah atau menyatakan bahawa DAP perlu menerimanya? Ia harus menjadi satu daripadanya atau yang lain bagi PAS dan DAP untuk kembali bergabung," katanya. -Bernama

Artikel Lain