GEORGE TOWN:Seramai 256 'mat rempit' ditahan polis dalam operasi membanteras samseng jalanan di Sungai Nibong di sini awal pagi Sabtu. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata operasi yang bermula dari pukul 12 tengah malam dan berakhir 5 pagi itu berjaya menahan mereka termasuk enam yang cuba melarikan diri dengan menyeberangi pembahagi jalan dan menunggang melawan arus. "Polis mengagalkan percubaan mereka untuk meloloskan diri, namun dalam proses menahan dua daripada mereka telah berlaku kemalangan apabila mereka bertembung sesama sendiri," katanya di sini, Sabtu. Dalam operasi itu sebanyak 101 kesalahan telah dikesan dilakukan mereka yang ditahan antaranya gagal mengemukakan lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi dibenarkan. "Hasil pemeriksaan lanjut, kita turut mengeluarkan sebanyak 81 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 12 motosikal yang telah diubah suai," katanya. Seramai 43 anggota polis terlibat dalam operasi tersebut yang dijalankan di sekitar Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Sungai Dua, Pekaka, Lip Sin, Jalan Masjid Negeri, Bulatan Gelugor, Padang Kota Lama dan kawasan pusat bandar.-- Bernama