BUTTERWORTH: Seorang wanita bergelar Datin Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas pertuduhan gagal memberikan pernyataan bertulis berkenaan harta yang diperolehinya. Datin Seri Sua Lai Kim 41, didakwa gagal mematuhi satu nota bertulis oleh Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang menghendakinya memberi pernyataan bertulis dengan bersumpah atau berikrar berkenaan harta-harta yang diperolehinya di antara 1 Januari 2010 hingga 30 April 2015. Ibu tunggal kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Jabatan Peguam Negara, Bahagian Pendakwaan, Tingkat 14, No 45, Persiaran Perdana, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 19 Jun hingga 1 September 2015. Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 49(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Asyikin Mokhtar menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah. Peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya hanya suri rumah dan perlu menyara empat anaknya berumur dua hingga 10 tahun selepas suaminya mati dibunuh pada Januari tahun lalu. Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 20 Disember untuk sebutan semula kes itu. - BERNAMA