KOTA BARU: Suami kepada Allahyarham Anisah Ali, pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan yang maut dalam insiden di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, Jumaat lepas, dipindahkan dari JKDM Pulau Pinang ke JKDM Kelantan. Pegawai Kastam Kanan, Baharuddin Hamid, 58, yang berasal dari Pasir Mas, menerima pertukaran itu selepas tiga tahun bertugas di JKDM Pulau Pinang serta susulan kematian isterinya. "Saya bersyukur kerana dapat kembali bertugas di Kelantan selain dapat berdekatan dengan anak bongsu lelaki saya, Muhamad Afiq, 22, yang tinggal di Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu. Dalam insiden itu, Anisah, 54, meninggal dunia pada Sabtu, selepas koma apabila kenderaan yang dinaikinya dirempuh kenderaan tonto sehari sebelumnya (Jumaat) di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas. Kenderaan yang dinaiki mangsa bersama dua rakan setugas dilaporkan dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tonto ketika mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup. Baharuddin berkata beliau akan melapor diri di JKDM Kelantan pada 16 Okt ini dan berharap ditugaskan di pejabat Kastam di sini kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya. "Kalau boleh saya tidak mahu ditugaskan di Rantau Panjang kerana masih teringat dengan kes yang menyebabkan isteri saya terkorban," katanya. Beliau berkata pertukaran itu dirasakan amat perlu kerana tidak mahu anak lelakinya berseorangan di rumah, menanggung kesedihan dan trauma. "Sejak tiga tahun lalu, saya memang berulang-alik dari Butterworth, Pulau Pinang ke Kelantan setiap hujung minggu kerana mahu bersama isteri dan Muhamad Afiq. Beliau berkata anak perempuan sulungnya yang berusia 26 tahun sudah berkahwin. Mengenai kenaikan gred 22 kepada 26 untuk arwah isterinya, Baharuddin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf pengorbanan anggota kastam yang menjalankan tugas. Sementara itu, Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusoff berkata Baharuddin kemungkinan akan ditempatkan di Unit Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) iaitu jawatan yang disandang arwah isterinya di Kota Bharu sebelum meminta ditukarkan ke Rantau Panjang. "JKDM akan menawarkan jawatan tersebut kepada Baharuddin tetapi terserah kepadanya sama ada untuk menerimanya atau tidak buat masa sekarang," katanya. - BERNAMA