KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk mengenal pasti punca insiden kebakaran sebuah bas berhenti-henti Rapid KL (T521) LRT Sri Rampai-Seksyen 10 Wangsa Maju. SPAD berkata ia akan menjalankan audit terperinci berhubung pematuhan Kod Amalan Keselamatan Industri SPAD (ICOP) Rapid KL. Prasarana juga diarah menyerahkan laporan terperinci mengenai insiden tersebut kepada SPAD, kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini, Khamis. Bas milik Rapid Bus Sdn Bhd itu terbakar pada 4 petang berhampiran pusat beli-belah Aeon Big Wangsa Maju di sini. SPAD juga memuji tindakan pantas kapten bas itu mengarahkan enam penumpang supaya segera turun daripada kenderaan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.