PETALING JAYA: Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan oleh PAS telah dimasukkan dalam senarai usul yang akan dibentangkan pada 4 November ini. Usul yang diusahakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang bertujuan meminda Akta 1965 Mahkamah Syariah, dijangka mencetuskan perdebatan hangat apabila Parlimen bersidang pada minggu depan. Sebelum ini, Abdul Hadi membentangkan rang undang-undang tersebut pada hari terakhir sidang Parlimen pada 26 Mei lalu. Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan perbahasan berhubung usul tersebut sehingga Oktober. Sejak itu, Abdul Hadi berulang kali memberi jaminan bahawa usul pindaan tersebut tidak bertujuan melaksanakan hukum hudud tetapi mahu meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah kecuali hukuman mati. Beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan MIC menentang pindaan tersebut yang dikhuatiri akan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.