suria

Saman Anwar Cabar Akta MKN Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak saman difailkan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh, mewakili kerajaan Malaysia dan MKN selaku responden.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam N. Surendran dan Latheefa Koya yang bertindak bagi pihak Anwar. 

Amarjeet ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak saman itu atas alasan tiada bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan kerana ia membabitkan kompetensi legislatif oleh Parlimen untuk menggubal undang-undang.

Surendran pula berkata mahkamah juga bersetuju dengan hujahan Amarjeet bahawa Anwar sepatutnya mengemukakan saman dengan mendapatkan kebenaran di Mahkamah Persekutuan mengikut Artikel 4 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya Artikel 4 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk mencabar kuasa legislatif Parlimen dalam meluluskan undang-undang.

Bagaimanapun, Surendran berkata beliau pula berhujah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu mengikut Artikel 4 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Akta MKN yang dikatakan tidak konsisten dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Mahkamah memerintahkan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada responden," katanya yang turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016, yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Dalam saman itu, Anwar turut memohon deklarasi Seksyen 12 Akta Perlembagaan, Perkara 66 (4) dan Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah selain turut memohon injunksi bagi menghalang MKN daripada mengambil sebarang tindakan mengikut akta itu.-- Bernama


Akta MKN, Anwar Ibrahim

Artikel Lain