PASIR SALAK: Duta Madu Kelulut Walk 2016, Sabri Ali kini telah berjalan kaki secara solo melalui enam lokasi dengan jarak 240.5 kilometer (km) dalam misinya merentasi 14 negeri seluruh negara. Lebih mesra dipanggil Pak Sabri, 54, beliau yang memulakan misi tersebut pada 8 Oktober lepas, memulakan perjalanan hari ini dari Menara Condong Teluk Intan pada pukul 7 pagi dan berakhir enam jam kemudian di Dataran RBA, Changkat Lada di sini, dengan jarak perjalanan sejauh 40km. Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak bersama beberapa pemimpin lain. Sabri, anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu berkata kesihatannya masih berada pada tahap yang terbaik biarpun mengadapi pelbagai cabaran sepanjang misinya. "Cabaran paling besar saya adalah berjalan di atas cuaca yang terik. "Alhamdulillah semua itu dapat diatasi hasil sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga penduduk setempat. "Malah berkat menjadikan madu kelulut sebagai makanan utama menambah tenaga, kesihatan dan stamina saya juga berada pada tahap yang baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kelulut Walk 2016 di Changkat Lada di sini pada Sabtu. Misi Sabri bermula dari Taman Botani Negara, di Shah Alam sempena Hari Sukan Negara 2016 kemudiannya ke Dataran Shah Alam sejauh 40km sebelum terbang ke Sibu, Sarawak bagi menyambung misi sejauh 42.9km pada keesokannya. Antara kawasan yang telah dilalui Sabri adalah Kuching, Bau, Sibu, di Sarawak, Kota Kinabalu (Sabah) dan esok beliau akan bermula di Hulu Selangor dan berakhir di Slim River (Perak). Ia dijangka mengambil masa selama 54 hari merentasi 14 negeri dengan jarak 2,000km termasuk Sabah dan Sarawak. Sabri sebelum ini pernah melakukan dua misi berjalan kaki secara solo iaitu pada 2014 melibatkan jarak sejauh 1,700km di 12 negeri dan pada 2015 sejauh 1,640km selama 35 hari. Sementara itu, Tajuddin berkata ketika ini seramai 1,200 pengusaha madu kelulut mengusahakan perusahaan tersebut di seluruh negara dengan Kedah direkodkan paling ramai pengusaha. Jelasnya pengamalan meminum madu kelulut bagus untuk kesihatan kerana ia tinggi anti oksidan dan kandungan gulanya rendah dan baik untuk pesakit diabetis. - BERNAMA