suria

Raja Muda Selangor Sempurnakan Pemasyhuran Gelaran

Tengku Amir Shah membawa keris kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor menghadap ayahandanya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada majlis Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah sebagai Raja Muda Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Sabtu. Foto Bernama

KLANG: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Sabtu menyempurnakan pemasyhuran gelaran baginda menerusi Istiadat Menjunjung Duli di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini.  

Istiadat berkenaan dilakukan apabila Tengku Amir Shah kembali semula ke istana bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah setelah keluar meninggalkan negeri selama tujuh hari selepas dimasyhur pada 8 Oktober lepas, seperti amalan yang ditetapkan. 

Tengku Amir Shah berangkat memasuki perkarangan Balairung Seri sambil menjunjung Keris Kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Muda Selangor, keris yang dianugerahkan kepada baginda oleh Sultan Sharafuddin semasa istiadat pemasyhuran. 

Ketika menjunjung duli, Tengku Amir Shah, yang juga Raja Muda ketujuh, turut mempersembahkan bingkisan cenderamata kepada ayahanda baginda sambil disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang turut berangkat ke istiadat berkenaan. 

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menerima cenderamata tersebut disusuli kucupan tangan baginda oleh Tengku Amir Shah, yang juga anakanda ketiga Sultan Selangor. 

Istiadat menjunjung duli tersebut turut disaksikan kerabat-kerabat diraja yang lain.

Turut hadir pada istiadat berkenaan adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, barisan Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor serta pegawai-pegawai kerajaan.

Dalam istiadat itu, Mohamed Azmin dalam mempersembahkan ucapan tahniah di atas pemasyhuran Tengku Amir Shah berkata beliau amat kagum dengan keperibadian baginda yang cekal menjalani latihan lasak ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom. 

"Akademi tersohor ini telah melahirkan seorang graduan yang memiliki kemahiran dan kepakaran ilmu ketenteraan, berdisiplin tinggi dan memiliki daya ketahanan fizikal dan mental.

"Ciri-ciri kepahlawanan ini sememangnya merupakan tradisi dan jati diri yang mengalir dalam darah leluhur yang membangun kerajaan, mencipta keteraturan dan sistem pemerintahan di seantero rantau Nusantara," katanya.

Tambah Mohamed Azmin, rakyat Selangor akan sentiasa mempertahankan institusi raja berpelembagaan kerana ia adalah payung kestabilan dan kemakmuran Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang prihatin rakyat. 

Istiadat berkenaan kemudian disusuli pula ucapan sembah tahniah oleh Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah, mewakili waris-waris dan kerabat-kerabat diraja. 

Dalam ucapan berkenaan, Tengku Ahmad Shah memuji Tengku Amir Shah yang sering menjalankan kewajipan sebagai Putera Raja berjiwa rakyat dengan menyertai acara-acara bersama rakyat selain membantu golongan kurang berkemampuan. 

"Ini secara tidak langsung telah mempamerkan contoh dan ketokohan yang terbaik dalam menjadikan Seri Paduka Anakanda sebagai seorang raja muda yang dihormati dan disanjungi rakyat jelata," titahnya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus istiadat menjunjung duli selesai. - Bernama

Artikel Lain