KOTA KINABALU: Seorang lelaki dan anak perempuannya yang berusia 22 tahun meninggal dunia dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Tawau pada awal pagi Sabtu. Kedua-dua mangsa Buhari Langka, 57 dan Nuraisyah Buhari, 22 ditemui rentung oleh anggota bomba ketika cuba memadamkan api yang turut menjejaskan lima buah rumah lain di Kg Tanjung Batu Laut di daerah Tawau pantai timur Sabah. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khatizah Rahaban berkata kebakaran yang bermula kira-kira pukul 5.00 pagi itu berjaya dikawal pada kira-kira pukul 6.45 pagi. Menerusi kenyataan, beliau berkata operasi masih dijalankan. Seramai 36 anggota bomba dan lima jentera bomba dikejarkan ke kawasan itu setelah menerima panggilan kecemasan. Sementara itu di Sandakan, sebuah pasar raya dan kedai borong musnah dalam satu kebakaran yang bermula pada kira-kira pukul 6 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Anggota bomba masih cuba untuk memadamkan api.