suria

Fenomena Air Pasang Besar Awal Pagi Ini Terkawal

Mangsa banjir, Suria Mohd Sahmi, 47, membuang air yang memasuki rumahnya akibat fenomena air pasang besar di Kampung Sementa, Kapar, Ahad. Ini merupakan kali keempat dalam tahun ini rumahnya dilanda banjir. Fenomena air pasang besar dijangka akan berlanjutan sehingga 21 Oktober ini.

KUALA LUMPUR:Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa buah negeri sejak awal pagi ini rata-rata dilaporkan masih dalam keadaan terkawal.

Walaupun limpahan air yang berlaku sejak awal pagi menyebabkan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan di beberapa tempat, namun keadaan setakat ini tidak membimbangkan selain pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Di SELANGOR, sebanyak 321 orang daripada 74 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir berikutan fenomena itu yang berlaku mulai pukul 3 pagi hingga 5.40 pagi ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad Afandi Mohamad berkata tiga pusat pemindahan berkenaan adalah di Dewan Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar, dan Dewan Sungai Air Tawar serta Dewan Parit Baru di Sabak Bernam. 

"Pagi ini air naik maksimum seperti yang kita jangka antara 5.6 ke 5.7 meter. Bagaimanapun setakat ini ianya tidak melibatkan risiko besar dan tidak berbahaya," katanya kepada Bernama. 

Limpahan air turut berlaku di Pantai Batu 23 Sabak Bernam dan Kampung Bagan, Sekinchan, namun keadaan tidak membimbangkan manakala ban pasir di Batu 5, Jalan Kapar pecah menyebabkan berlaku limpahan air ke daratan, namun situasi di sana turut terkawal.

Di PERAK, tinjauan Bernama di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis mendapati air pasang mula naik secara berperingkat mulai pukul 2.30 pagi menyebabkan ban yang dibina pecah selain jalan utama dinaiki air sepanjang 300 meter. 

Selain itu, 15 daripada 60 buah rumah di kawasan berkenaan turut dinaiki air setinggi kira-kira 0.75 meter, namun tiada pemindahan dilakukan dan air mula surut pukul 7.30 pagi ini. 

Kejadian itu menyebabkan penduduk antaranya Khairi Abdul Hamid terpaksa berjaga sepanjang malam kerana bimbang banjir akibat air pasang besar berskala besar akan berlaku. 

"Kami sangat takut kerana semasa air pasang bulan lalu, kami sedar rumah dinaiki air bila bangun pagi sehingga tidak dapat menyelamatkan banyak perabot serta peralatan elektrik. 

"Jadi, kali ini kami rela berjaga sehingga air benar-benar surut dan kami juga telah meletakkan barangan penting termasuk peralatan elektrik di tempat tinggi," katanya.

Di Bagan Datoh, lima kawasan dinaiki air kira-kira pukul 4 pagi tadi, namun tiada kediaman yang terjejas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin.

Beliau berkata kawasan terjejas termasuk Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut. 

Di PULAU PINANG, tinjauan di Kampung Manis, Perai mendapati air mula naik separas 0.3 meter kira-kira pukul 1 pagi tadi. 

Anggota Jabatan Pertahanan Awam (APM) membuat tinjauan di Kampung Manis, Butterworth yang dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar ketika tinjauan foto Bernama Sabtu malam. Mereka mendapati paras air mula naik hingga 0.3 Meter.

Pengerusi Bertindak Masalah Banjir Kampung Manis Mohd Iqbal Kadir Ghani berkata setakat ini, belum ada penduduk yang dipindahkan dan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat pemantauan berterusan. 

Turut dilaporkan terjejas ialah Kampung Telok Ipil di Nibong Tebal yang dinaiki air kira-kira 0.2 meter namun setakat ini tiada penduduk dipindahkan kecuali jika keadaan air mencapai paras amaran 2.8 meter pada tengah hari ini.

Di PERLIS, sebanyak 28 kawasan berisiko antaranya di Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju dijangka dilimpahi air laut di sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis mulai esok hingga Selasa ini. 

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd Farid Ishak berkata air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter manakala ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat. 

"Air pasang hari ini dijangka bermula pukul 12.40 tengah hari dan boleh mencecah 3 meter tinggi," katanya. 

Di KEDAH, keadaan turut dilaporkan terkawal dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tikam Batu masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan daripada penduduk di sekitar pantai sehingga 10 pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Mohd Razmi Abd Rashid berkata namun, pihaknya menjalankan persediaan dengan mengadakan simulasi dan rondaan di sekitar kampung yang berkemungkinan terjejas sekiranya air pasang besar berlaku.

Katanya, 27 anggota ditempatkan di kawasan tersebut dengan dua bot dan sebuah jentera juga berada dalam keadaan siap sedia. 

Di JOHOR, fenomena air pasang besar setakat pagi tadi turut menjejaskan beberapa daerah termasuk Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar Nurrul Azle Ab Jabar berkata walaupun keadaan masih terkawal, namun pemantauan tetap ditingkatkan di beberapa lokasi berisiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Peningkatan pemantauan itu melibatkan penambahan sebanyak 60 anggota APM yang bertugas di kesemua daerah yang terjejas, katanya dalam kenyataan hari ini.

Kawasan yang terlibat ialah pesisir pantai Johor Bahru dengan jangkaan bacaan meter sehingga 3.9 meter, Tanjung Langsat (3.5 meter), Tanjung Pelepas (3.5 meter), Pasir Gudang (3.5 meter), Pulau Pisang (3.5 meter), pesisir Pantai Endau (3.4 meter), Sungai Belungkor (3.3 meter), Kuala Batu Pahat (3.2 meter), Mersing (3.2 meter) dan Tanjung Sedili (3.0 meter).-- Bernama 


Artikel Lain