suria

Lelaki Disangka Bunuh Diri Rupanya Anggota Geng Samun

JOHOR BARU: Lelaki yang dilaporkan cuba membunuh diri dengan bergayut di tingkap sebuah hotel di sini Ahad, hingga menjadi viral di media sosial, sebenarnya adalah seorang daripada tiga anggota geng samun.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata kejadian berlaku ketika polis menyerbu bilik yang disewa ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 25 tahun itu di Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini pada pukul 1.15 tengah hari.

Dalam serbuan tersebut, seorang daripada mereka ditahan di bilik berkenaan selepas bergelut dengan seorang anggota polis manakala seorang lagi terjun dari aras tiga melalui tingkap hotel menyebabkan kakinya patah dan cedera di tulang belakang.

"Suspek ketiga pula cuba melarikan diri dengan meniti dan bergayut pada bahagian belebas tingkap dan tepi bangunan, dan kemudian terjun ke bumbung tingkat satu hotel, tetapi mengakibatkannya cedera di bahu.

"Ekoran kecederaan itu, kedua-duanya berjaya diberkas dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail," katanya dalam kenyataan, di sini Isnin.

Jokhiri berkata berdasarkan semakan, ketiga-tiga suspek, masing-masing terdiri daripada warga tempatan, Filipina dan Indonesia.

Pemeriksaan di bilik hotel turut menemukan dua parang, satu pisau, satu tukul besi, empat telefon bimbit, dua jam tangan, tiga kunci motosikal dan satu topi keledar.

Turut dirampas, sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Taman Scientex, Pasir Gudang.

"Kumpulan ini disyaki terlibat dalam kejadian samun di hotel-hotel bajet dan curi kenderaan di sekitar Johor Bahru dan mula aktif kira-kira tiga bulan lepas.

"Sehingga kini, mereka mengaku telah melakukan sekurang-kurangnya tujuh kes seumpamanya di kawasan Seri Alam," katanya.

Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata, Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah. - BERNAMA 

geng samun, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain