SHAH ALAM: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Selangor bertambah kepada 497 orang petang ini berbanding 482 orang pagi Selasa. Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor berkata sehingga 6 petang tadi, seramai 167 penduduk dari Kampung Batu 5, Kapar, Klang ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali, Kapar, berbanding 152 orang sebelum ini. Difahamkan, peningkatan jumlah mangsa banjir dari Kampung Batu 5 berpunca daripada kejadian ban Sungai Keramat pecah akibat fenomena air pasang besar. Selain itu, paras air laut yang mencecah 5.3 meter ketika air pasang petang Selasa. Seramai 236 orang mangsa lagi adalah dari Kampung Tok Muda, Kapar,dua orang dari Sekinchan dan 92 orang dari pekan serta kampung-kampung di sekitar Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Mereka ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda serta di Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru dan Dewan Seri Sekinchan di Sabak Bernam. Di KLANG, seramai 236 penduduk Kampung Tok Muda, Kapar yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda berada dalam keadaan baik. Ketua kampung itu Hailani Surit berkata hanya dua mangsa berumur 50-an menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini setelah mengalami tekanan darah tinggi dan seorang kanak-kanak dibawa ke Klinik Kapar kerana asma. Ketika ditemui pemberita di sini, hari ini, beliau berkata fenomena air pasang besar hari ini tidak menjejaskan 56 keluarga dari kampung berkenaan kerana limpahan air laut tidak melepasi benteng di kawasan itu. Seorang penduduk, Baniah Mokhsan, 61, pula berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan doktor yang mengunjungi mangsa sekurang-kurangnya empat kali sehari di pusat pemindahan itu. Sementara itu, dua mangsa fenomena air pasang besar di Kampung Batu 5, Jalan Kapar di sini berkata mereka terpaksa mengambil cuti kecemasan berikutan kenaikan paras air di rumah masing-masing hingga mencapai paras pinggang. Muhammad Azhar Azman, 26, yang bekerja sebagai tukang kimpal di Meru, berkata beliau terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana keretanya mengalami kerosakan akibat dimasuki air masin. "Saya harap ban Sungai Keramat yang pecah di kampung ini akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki segera," katanya. Shahairi Sehar, 41, pula berkata fenomena air pasang kali ini merupakan yang terburuk dalam tempoh 20 tahun ini. Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib memberi perhatian terhadapaduan penduduk mengenai ban Sungai Keramat yang tidak kukuh. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata seramai 150 pegawai dan anggota ditugaskan membantu mangsa banjir di Kampung Tok Muda dan Batu 5. -Bernama