suria

Pamer No Pendaftaran Palsu, Kelindan Lori Didenda RM5,500

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori didenda RM5,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Trafik, di sini, Selasa kerana mengubah nombor pendaftaran pada motosikal miliknya, September lepas.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas Aiman Azri Zainuddin, 20, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengubah nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan yang dinaikinya iaitu motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam.

Aiman Azri didakwa melakukan kesalahan itu dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu WSF527 di Jalan Raja Laut, di sini, pada 11.30 malam, 9 September lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan dia telah insaf.

Mengikut fakta kes, ketika sepasukan polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Raja Laut, di sini, telah menahan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dalam keadaan mencurigakan.

Selepas semakan dibuat didapati nombor pendaftaran asal motor tersebut adalah WSF1527. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

APM Siasat Kes Campak Ular

Artikel Lain