suria

Bajet 2017: Tambah Peruntukan Untuk TVET - KJ

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengharapkan peruntukan lebih besar diagihkan bagi Pendidikan Teknikal dan latihan Vokasional (TVET) dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata dana yang lebih besar diperlukan untuk memperkasakan TVET bagi memastikan matlamat kerajaan melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi pasaran kerja akan terus dicapai.

"TVET menjadi salah satu pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di mana dalam Belanjawan 2016, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion bagi industri ini.

"Kerajaan amat komited dalam pembangunan industri TVET. Jadi kita berharap dalam pembentangan Belanjawan 2017 pada Jumaat ini, kerajaan akan memperkasakan lagi industri ini," katanya ketika berucap pada Seminar Automotif 2016 di sini, Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Sementara itu, Khairy berkata TVET perlu ditransformasi agar ia menjadi pilihan utama di peringkat lepasan sekolah untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri tersebut.

"Kerajaan berusaha memperkasakan TVET bagi menangkis persepsi negatif masyarakat yang menganggap pendidikan vokasional sebagai pendidikan kelas kedua.

"TVET sebenarnya menyediakan pilihan yang sangat baik bagi mereka yang cemerlang bekerja secara hands-on (praktikal)," katanya.

Jelas beliau, Malaysia mempunyai tidak sampai 10 peratus pelajar aliran vokasional berbanding 60 peratus pelajar di kebanyakan negara maju yang mencapai taraf negara perindustrian.

"Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan pelajar dalam bidang ini, ia masih jauh lebih rendah berbanding negara maju yang lain.

"Nisbah pelajar pendidikan vokasional di Jerman ialah 60 peratus, Jepun 28 peratus dan Taiwan 70 peratus," katanya.

Justeru, beliau berkata KBS telah menyediakan pelbagai kursus vokasional melalui Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

Terdahulu, Lokman Hakim merasmikan Seminar Automotif 2016 bertemakan "Pembangunan Belia Dalam Sektor Automotif" yang disertai kira-kira 200 peserta institut latihan awam dan swasta di seluruh negara.

Seminar itu merupakan platform kepada institut latihan awam dan swasta serta penggiat industri untuk mengupas dan menyampaikan ilmu berkaitan perkembangan bidang automotif negara.

Menerusi seminar tersebut, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong menjalin kerjasama strategik dengan dua buah syarikat Assembly Services Sdn Bhd dan Kinhock (M) Sdn Bhd.

Kerjasama dua hala itu bertujuan untuk merealisasikan misi pembangunan modal insan belia berkemahiran tinggi di kalangan generasi muda.

TVET, KBS, Bajet 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain