suria

Gelombang Kedua Air Pasang Besar Diramal Bulan Depan - Nadma

MELAKA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena air pasang besar gelombang kedua dijangka melanda negara ini antara 13 hingga 17 Nov depan, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Zaitun Ab Samad.

Beliau berkata paras kenaikan air pada gelombang kedua berkenaan dijangka tidak setinggi gelombang pertama yang sedang berlaku antara 16 Okt hingga hari ini namun ramalan berkenaan tidak boleh dipandangmudah.

"Kesedaran dan langkah awal masyarakat untuk berpindah lebih awal di pusat pemindahan sekiranya diminta pihak berkuasa adalah penting untuk memastikan keselamatan nyawa mereka dan keluarga terjamin.

"Jangan sayangkan rumah kita kerana nyawa lebih berharga dan tiada nilainya.

Saya faham terdapat juga masyarakat enggan berpindah awal sebaik arahan pemindahan dikeluarkan dan kelewatan berbuat demikian akan mengundang pelbagai masalah," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata Nadma akan mengkoordinasikan tugas dan peranan semua pasukan penyelamat di bawahnya seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Rela bagi memastikan kelancaran pemantauan dan bantuan dapat disalurkan dalam tempoh fenomena berkenaan.

Katanya semua agensi berkenaan juga akan menjalankan pemantauan selama 24 jam di semua kawasan berisiko yang berpotensi mengalami kejadian berkenaan agar tindakan segera dapat diambil.

Sementara itu, Zaitun berkata masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko mengalami fenomena berkenaan diingatkan supaya memastikan semua dokumen penting disimpan dalam satu fail kalis air agar tidak rosak sekiranya banjir berlaku dan bekalan elektrik di rumah mereka diputuskan.

Beliau berkata apabila fenomena berkenaan berakhir dan banjir di kawasan rumah mereka surut, mereka diingatkan supaya membersihkan rumah terlebih dahulu dan memastikan tiada haiwan berbisa seperti ular di dalam rumah mereka.

Dalam pada itu, katanya MetMalaysia juga meramalkan musim tengkujuh dijangka berlaku pada November depan sehingga Mac tahun hadapan dan semua agensi  penyelamat sedang giat memeriksa peralatan penyelamat yang ada dan membuat pembaikan sebagai langkah bersediaan menghadapi musim berkenaan sejak Ogos lepas.

"Agensi teknikal di bawah Nadma seperti Jabatan Ukur Dan Pemetaan Melaka, MetMalaysia, Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Remote Sensing Malaysia kan sentiasa mengemas kini perkembangan atau maklumat berkaitan musim tengkujuh ini untuk disalurkan kepada pasukan penyelamat," katanya.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan