suria

Rakan Terharu Zahid Tetap Prihatin Walau Dah Jadi TPM

Ahmad Zahid (kanan) melawat bekas Ketua Pemuda dan Bendahari Umno Bahagian Pagoh, Bani Abd Rajak, 57, yang menghidap penyakit kencing manis di kediamannya di Bukit Alif, Tampoi pada Rabu. Turut kelihatan isteri Bani Zarina Mohd Yunus, 41, dan anak mereka Mohd Izuddin Bani, 13. Foto Bernama

JOHOR BARU: "Saya berasa amat gembira kerana masih berpeluang berjumpa dengan sahabat baik saya. Hanya Allah S.W.T yang mampu membalas segala jasa baik yang telah beliau berikan," kata Bani Abd Razak yang menerima kunjungan rakannya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas ketua Pemuda dan bendahari Umno Bahagian Pagoh itu begitu terharu dengan keprihatinan Ahmad Zahid yang menurutnya masih tidak berubah dan tetap mengingati rakan walaupun sudah menjadi timbalan perdana menteri.

Dia mengenali Ahmad Zahid sejak awal 1980 yang ketika itu pengerusi Bank Simpanan Nasional (BNSN) sebelum kedua-dua mereka berjinak dalam bidang politik, katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ahmad Zahid di rumahnya di Kondominium Dwi Mahkota, Bukit Alif, Tampoi di sini, Rabu.

Bani, 57, kini lumpuh selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing, tinggal bersama-sama isteri Zarina Mohd Yunus, 41, dan seorang anak Mohd Izuddin, 13.

Ahmad Zahid pula berkata, Bani juga merupakan kawan baik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kunjungannya pada Rabu adalah satu kelaziman untuk menziarahi rakan-rakan lama, walaupun agak mustahil untuk berjumpa dengan semua.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu, Ahmad Zahid berjanji untuk menyumbangkan kaki palsu kepada Bani serta akan membiayai kos perubatan ditanggungnya. - Bernama

Artikel Lain