suria

Permohonan Sijil Halal Auntie Anne's Masih Dibincang - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: Permohonan persijilan halal syarikat pengusaha makanan Auntie Anne's masih dalam peringkat perbincangan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul isu Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk tersebut sebagai tidak halal.

"Permohonan sijil halal Jakim oleh Auntie Anne's sudah memasuki 'audit central kitchen' (dapur berpusat) dan dokumentasi untuk disahkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ng Wek Aik (DAP-Tanjong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Ng mahu penjelasan mengenai tindakan Jakim yang didakwa mengesahkan produk Auntie Anne's tidak boleh mendapat sijil halal kerana beberapa menu yang menggunakan nama seperti 'Pretzel Dog' seperti dilaporkan media.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata syarikat francais itu telah membuat permohonan secara sukarela untuk mendapatkan persijilan halal daripada Jakim pada Ogos lalu.

Bagaimanapun katanya terdapat pihak tidak bertanggungjawab sengaja menimbulkan isu itu di media sosial melalui akaun palsu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengakui aspek penjenamaan merupakan antara aspek yang diambil kira dalam mendapatkan persijilan halal Jakim.

Katanya ia termasuk pertimbangan istilah-istilah yang boleh meragukan, mengelirukan dan menimbulkan sensitiviti kepada umat Islam. 

"Allah sukakan benda yang baik, nama yang baik, kalau nama tidak baik, sensitif kepada umat Islam maka ia perlu pertimbangan.

"Tetapi semua itu akhirnya tentu ada budi bicara untuk dipertimbangkan, dan inilah yang sedang dalam perbincangan," katanya.

Menjawab soalan asal Ng mengenai sama ada Risda dibenarkan mengeluarkan logo halal sendiri, Asyraf Wajdi berkata hanya Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri sahaja yang berhak mengeluarkan sijil halal setakat ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bukan nama produk yang dinilai dalam pensijilan halal, tetapi isi kandungan dalam makanan tersebut yang menjadi penilaian utama.

"Saya hendak tegaskan tidak timbul Jakim dan majlis agama hendak haramkan makanan yang sudah sedia dikenali seperti 'hotdog'. Yang kita fokus bukan nama, kita menilai dari sudut kandungan bahan-bahan pemakanan tersebut," katanya.

Jamil Khir berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak syarikat tersebut bagi memperjelaskan perkara itu dan mencari penyelesaian berhubung kontroversi berkenaan. -- Bernama

Auntie Anne's, DAP, Jakim

Artikel Lain