KUALA LUMPUR: Polis menyiasat kemungkinan wujud unsur penderaan dalam insiden anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mencampakkan ular ke dalam kolam sewaktu kem bina diri yang disertai pelajar sekolah. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan itu tidak sewajarnya dilakukan anggota APM memandangkan mereka hanyalah pelajar sekolah. "Pada hemat saya, ada unsur mendera kerana tak mungkin ingin melatih pelajar sekolah macam latih komando dengan letak ular sawa. "Biar kami siasat dahulu apa yang berlaku dalam insiden ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Khamis. Turut hadir, Komandan Pulapol Kuala Lumpur Datuk Zahari Mohd Yusoff dan Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd, Datuk Roh Jae Yeol. Khalid berkata polis meminta individu yang menyebarkan rakaman video itu tampil memberi keterangan berkenaan situasi sebenar yang berlaku ketika itu. "Saya minta orang yang hantar video datang, kami bukan nak tangkap tetapi ingin keterangan memandangkan dia saksi utama. "Keutamaan sekarang cari orang yang viral dan kami ingin lihat jika ada kesalahan dilakukan oleh mereka (anggota APM)," katanya. Dalam kejadian itu, seramai 45 murid Sekolah Kebangsaan Beluru, Kuala Kangsar, Perak, menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar. Rakaman video yang tersebar sejak beberapa hari lalu turut mendapat kritikan netizen yang menganggap tindakan itu boleh mendatangkan trauma kepada pelajar. Sementara itu, Perpustakaan Bestari Samsung mempunyai keluasan 1,885 kaki persegi dan dilengkapi 40 alat peranti Samsung seperti tablet dan SMART TV. Melalui perpustakaan ini, anggota-anggota di Pulapol mempunyai akses kepada semua e-Buku yang boleh dipinjam dari Perpusatakaan Negara Malaysia, jurnal Malaysia dan jurnal undang-undang semasa. - BERNAMA