suria

Biar Rakyat Nilai Sikap Pembangkang - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2017 selepas pembentangan Bajet 2017 di Parlimen pada Jumaat petang. Mereka dikelilingi oleh beberapa atlet Paralimpik negara dan Tok Batin Orang Asli.

KUALA LUMPUR: Rakyat boleh menilai sikap wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar dari Dewan Rakyat semasa pembentangan Bajet 2017, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun masing-masing berbeza pendapat, ia mengenai demokrasi, selain menghormati Parlimen.

"Rakyat mesti menilai perangai mereka dan rakyat kena buat keputusan bila sampai masa (pilihan raya umum).

"Kita mesti hormat orang walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Kita kena bersopan dan tujuk tingkah laku mulia kerana kita ni adalah pemimpin tak kira pembangkang atau kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2017, petang Jumaat.

Ditanya mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang yang mengangkat sepanduk "Siapa MO1 (Malaysia Official 1), Najib secara ringkas berkata: "Itu perangai mereka yang hodoh lah tu."

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan sebahagian wakil rakyat pembangkang itu tidak ubah seperti tingkah gangsterisme.

Beliau kesal dengan tindakan itu terutama bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan antara wakil rakyat pembangkang keluar dari Dewan Rakyat.

"Saya kecewa dengan (Ahli Parlimen) Pagoh. Mereka bekas wakil rakyat BN (Barisan Nasional). Saya tidak tahu jika mereka mahu parti mereka buat tindakan yang sama," katanya yang merujuk kepada Muhyiddin sebagai presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pula, ia merupakan pertama kali berlaku sepanjang beliau menjadi ahli parlimen.

Tambahnya, mengikut Peraturan 41.1 yang dipakai Dewan Rakyat, tindakan tersebut adalah biadap.

"Mereka tidak hormat institusi parlimen. Jika sebagai ahli parlimen sudah biadap dan tidak hormat peraturan, saya harap rakyat menilai bahawa mereka tidak layak menjadi ahli parlimen," katanya.

Bagaimanapun Noh mengucapkan syabas kepada sebahagian lagi wakil rakyat pembangkang iaitu PAS termasuk bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang tidak keluar dari Dewan Rakyat.

"Muhyiddin nampaknya patut menjadi pemimpin di kalangan pembangkang. Namun hari ini menjadi pengikut pembangkang.

"Shafie ada prinsipnya, tidak mudah terpengaruh dengan pembangkang," katanya.

Sementara itu, Shafie ketika ditanya mengapa beliau tidak turut serta keluar dewan, beliau hanya berkata: "Jangan politikkan."

Artikel Sebelum

Nama Penang Free School Kekal

Artikel Lain