suria

Pembuangan Sampah, Pencemaran Sungai Kerayong Membimbangkan

Keadaan Sungai Kerayong yang tercemar akibat pembuangan sampah yang tidak terkawal menyebabkan penduduk sekitarnya hidup dalam keadaan tidak selesa.

AMPANG: Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke Sungai Kerayong menyebabkan penduduk Taman Maju Jaya di sini hidup dalam keadaan tidak selesa apabila tahap pencemaran di sungai berkenaan semakin serius.

Tinjauan mStar Online mendapati, pelbagai sisa domestik dan industri dibuang ke sungai berkenaan hingga menghasilkan bau busuk dan buih yang menjijikkan.

Seorang penduduk, Au Wei Yin, 21, berkata biasanya pihak terbabit akan membuang sampah ke sungai itu pada waktu malam.

“Bukan saja sampah, tetapi pokok yang ditebang pun dibuang ke sungai ini. Ada kalanya kami tegur perbuatan mereka.

“Kami sekeluarga sudah 30 tahun lebih tinggal di sini dan masalah yang selalu dihadapi adalah berdepan bau busuk terutama ketika hujan," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Malahan, kata Wei Yin, masalah pembuangan sisa pepejal ini juga mengundang kehadiran haiwan berbisa seperti ular ke dalam rumahnya.

“Tidak kira musim kemarau atau tidak, ada ular pernah masuk ke dalam rumah kami dan beberapa jiran yang lain. Kadang-kadang saya nampak biawak berhampiran rumah,” jelasnya.

Bagi seorang lagi penduduk, Ishak Abdul Jabbar, 62, walaupun rumahnya agak jauh dari sungai itu, beliau prihatin dengan masalah penduduk sekeliling.

“Kami tahu terdapat beberapa rumah di tepi sungai itu pernah dimasuki ular dan pembuangan sampah juga menjadi kawasan nyamuk membiak," katanya.

Bagi Muhamad Yusof Abdullah, 66 tahun pula, tempat pembuangan sampah awam yang tidak menyeluruh adalah antara sebab pencemaran sungai itu berlaku.

"Apabila pihak berkuasa hanya meletakkan denda tetapi tiada tempat membuang sampah disediakan, tentunya masalah ini  tidak akan selesai. Begitu juga dengan sistem perparitan dan saliran," katanya.

Beliau menambah, orang ramai perlu menyayangi sungai dan menjaga kebersihannya supaya ia dapat menarik kehadiran pelancong.

"Pihak berkuasa tempatan juga perlu turun padang membersihkan serta mencantikkan sebagai lokasi riadah,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Chai mengadu mengenai keadaan Sungai Kerayong yang dipenuhi buih kotor akibat pembuangan sisa dari kawasan perindustrian berdekatan.



Artikel Lain