suria

Histeria: Kita Doa Pelajar Tidak Diganggu Makhluk Halus - Darussyifa'

SEORANG pelajar perempuan Sekolah yang mengalami histeria dikerumuni pelajar lain dalam kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, baru-baru ini. - AGENSI

PETALING JAYA: Majlis solat hajat dan bacaan yasin di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor pada Jumaat malam berjalan lancar dengan berdoa agar supaya pelajar tidak diganggu makhluk halus.

Ia susulan beberapa insiden serangan histeria membabitkan lebih 50 pelajar di sekolah berkenaan sejak minggu lalu.

Pengerusi Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa'), Abdul Rahman Ahmad berkata, kira-kira 40 kakitangannya hadir ke sekolah bagi membantu mengadakan solat hajat dan bacaan yasin.

Katanya, antara yang hadir di dewan sekolah adalah guru-guru, ibu bapa dan para pelajar terutama mereka yang akan menghadapi peperiksaan.

"Semuanya sudah selesai. Tidak pasti berapa ramai (hadir) sebab dewannya besar, tetapi penuhlah.

"Kita berdoa supaya nak tenangkan budak-budak yang menghadapi peperiksaan... dan tidak diganggu makhluk halus... yang histeria tu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ditanya mengenai perbincangan dan nasihat bersama pihak sekolah berhubung insiden histeria, Abdul Rahman hanya berkata: "Tidak ada yang kita bincangkan dengan pihak sekolah. Kita buat solat hajat dan bacaan yasin seperti biasa."

Minggu lalu, lebih 50 pelajar SMK Bandar Baru Bangi diserang histeria dalam satu kejadian pada kira-kira pukul 9 pagi.

Menurut sumber, beberapa ibu bapa bersama anak mereka yang terlibat dengan serangan histeria itu datang ke pusat rawatan Darussyifa’ bagi mendapatkan rawatan.

“Kecoh!! Kelam kabut!! Berpuluh pelajar diserang histeria!! Jeritan nyaring macam pontianak bersahutan di sana sini. Bacaan ayat-ayat Al-Quran dan suara azan berkumandang di seluruh kawasan sekolah,” memetik satu ‘posting’ di Facebook mengenai serangan histeria membabitkan lebih 50 pelajar itu.

Dilaporkan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, insiden itu pada mulanya menyerang pelajar tingkatan empat sebelum menular kepada pelajar tingkatan tiga dan lima.

Turut dilaporkan mengenai dakwaan kejadian berlaku selepas sebatang pokok besar berhampiran sekolah berkenaan ditebang.

Bagaimanapun menurut sumber, tidak dipastikan kejadian berpunca daripada pokok tersebut ditebang atau tekanan para pelajar menghadapi peperiksaan.

Histeria, Darussyifa'

Artikel Berikut

TN50: KBS Laksana Dua Fasa

Artikel Lain