suria

Rakyat Malaysia Kurang Gemar Beli-Belah Dalam Talian

PETALING JAYA: Aktiviti membeli-belah dalam talian memberi kesan kepada pasaran runcit dengan mendadak secara global. Bagaimanapun, rakyat Malaysia masih berminat untuk berkunjung ke pusat membeli-belah.

Kebanyakan mereka lebih gemar membeli-belah di gedung kerana menyukai pembelian dengan deria yang mana hanya mempercayai apa dilihat dan disentuh.

Golongan ini mempunyai kebimbangan untuk membuat bayaran terhadap sesuatu yang tidak diperiksa.

Bagaimanapun, mereka yang membeli-belah secara dalam talian menegaskan bahawa gedung maya menawarkan pilihan lebih banyak, harga lebih murah dan penggunaan yang lebih memudahkan.

Aktiviti membeli-belah dalam talian masih baharu di sini maka timbul kebimbangan mengenai sesuatu tidak berlaku dengan baik semasa menggunakan pendekatan pembelian berkenaan.

"Sentuh, lihat dan merasai produk sebelum membeli adalah penting buat rakyat Malaysia. Jadi, pembelian dalam talian tertinggi dari industri perkhidmatan kebiasaanya membabitkan tiket penerbangan dan wayang," kata Prof Madya Dr Azizah Omar dari Fakulti Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Barang-barang yang biasa dibeli secara dalam talian adalah fesyen, kosmetik, kesihatan, aksesori mudah alih, permainan dan kelengkapan bayi.

Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Valerie Choo berkata, cuaca panas dan lembab di negara ini, menyebabkan pusat membeli-belah dan rangkaian runcit lain telah berkembang menjadi tempat gaya hidup popular.

Langkah untuk meningkatkan hubungan digital di bawah Bajet 2017 dijangka memacu pertumbuhan e-dagang.

Terdahulu, Perdana Menteri meminta rakyat Malaysia supaya menyesuaikan diri dengan perubahan dan menerokai bidang baharu yang berkembang, memandangkan 2017 bakal menjadi tahun ekonomi Internet di negara ini. 

Artikel Lain