ALOR SETAR: Isu membabitkan tahap keberhutangan negara yang tinggi yang sering dimomokkan sebagai petanda bahawa negara akan muflis hanyalah salah faham ekonomi dan perlu diperbetulkan. Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ini kerana antara indikator dilihat ketika hendak membuat pinjaman ialah sama ada pinjaman tersebut bersifat produktif atau sebaliknya dan keupayaan membayar balik. "Pinjaman kerajaan misalnya sebanyak RM582 bilion pada 2014, tetapi itu adalah stok pinjaman, namun bayaran hutang pada tahun tersebut hanya sekitar RM20 bilion sahaja, itu bayaran, bukan stok. Malah ia bukannya perlu dibayar dengan segera kerana mempunyai tempoh kematangan hutang," katanya. Noor Azlan berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, Ahad. Malah jelasnya Malaysia menyaksikan pembangunan pesat dicapai dengan sebahagian besarnya dalam tahun-tahun ketika ekonomi negara berada dalam keadaan defisit. "Pertama sekali isu persepsi, istilah atau perkataaan hutang dalam nahu bahasa kita dianggap konotasi negatif tetapi hakikatnya dalam kehidupan seharian malah di peringkat individu pun semua mempunyai hutang. "Tidak ada salahnya dengan defisit. Dalam bahasa ekonomi lebihan dan defisit tidak boleh diterjemah secara terus, kononnya defisit bermakna masalah, lebihan bermakna baik. Sama juga dengan hutang, cuma istilah hutang dalam literasi Bahasa Melayu kita nampak takut," katanya. Beliau menegaskan tahap pinjaman kepada pendapatan negara semata-mata belum cukup untuk menterjemahkan bahawa sesuatu negara itu diurus dengan baik ataupun tidak. "Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi hutang, United Kingdom misalnya pula berhutang 91 peratus dan Singapura sebanyak 105 peratus," katanya. Noor Azlan berkata menurut pengamatannya, defisit negara selalunya akan melebar apabila berhadapan krisis ekonomi seperti pada tahun 1997 dan 2009 yang menyebabkan ekonomi negara menguncup. "Apabila ekonomi menguncup maka sektor swasta dan pengguna tidak berbelanja, jadi memang wajarlah kerajaan berbelanja dan dalam keadaan itu defisit kita melebar dan ia bertepatan dengan keperluan. "Yang penting ialah adakah defisit itu dikawal dan tahun demi tahun kita lihat defisit fiskal kita semakin menurun, walaupun keadaan getir beberapa tahun yang lalu, sasaran kita tetap dipertahankan dan tahun hadapan sasaran kita 3 peratus daripada KDNK," katanya. - BERNAMA