suria

Jangan Sertai Demonstrasi Jalanan - Menteri Besar

SEREMBAN: Orang ramai diingatkan agar tidak menyertai demonstrasi jalanan yang dilihat hanya akan mendatangkan huru-hara kepada negara. 

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demonstrasi jalanan itu juga mampu mewujudkan perasaan benci menebal hingga akhirnya berlaku masalah perkauman.

"Saya dengar DAP Negeri Sembilan akan adakan Bersih 5.0 nak buat di Rembau, malamnya nak buat ceramah perdana pula di Rantau...kalau ada orang yang hilang pertimbangan suasana boleh jadi kecoh dan tidak dapat dikawal.  

"Jangan dengar hasutan orang, suruh pergi gaduh sana sini, suruh demo sana sini...kerana ia tidak mendatangkan faedah walau sedikit pun," katanya pada majlis Makan Malam dan Irama Sempena Deepavali 2016. 

Turut hadir, Presiden MyPPP Kebangsaan Tan Sri M. Kayveas.

Mohamad menegaskan, bukan mudah untuk membina negara harmoni dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, kerana itu ia haruslah dijaga sebaik mungkin. 

"Bila negara kucar-kacir, perniagaan akan tutup, pelabur akan lari kerana tiada lagi keamanan...Apabila ia berlaku, semua kaum akan rugi - Melayu, Cinadan India akan rugi. 

"Mari kita sama-sama pastikan negara kita terus kukuh aman bersatu-padu setelah sekian lama kita bangunkan negara ini," katanya. 

Pada majlis itu, seramai 2,500 ahli MyPPP dan penduduk sekitar menerima sumbangan berbentuk wang tunai, cek dan hamper sebagai persiapan menyambut perayaan Deepavali. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain