KEMAMAN: Tiga nelayan lelaki warga Indonesia ditemui selamat selepas seminggu menempuh suasana getir apabila bot mereka rosak dan memasuki perairan Terengganu. Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata tiga nelayan berkenaan, Yuhana Aris, 47, Radifa Fabrian, 17 dan Jairianto, 53 ditemui kira-kira 6.26 petang Sabtu lepas oleh nelayan tempatan. "Mengikut laporan awal, bot nelayan Indonesia tersebut dipercayai mengalami kerosakan enjin ketika menangkap ikan dari Pulau Natuna Indonesia ke Pulau Jemaja dan terkandas di laut lebih kurang seminggu sebelum dijumpai nelayan tempatan. "Sejurus menerima panggilan bot Maritim Pengawal 48 ditugaskan membuat pertemuan dengan bot nelayan tersebut dan menyelamatkan kesemua mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin. Susulan kejadian tersebut Maritim telah memaklumkan penemuan itu kepada Kedutaan Indonesia dan bersedia bekerjasama mengenal pasti mangsa manakala bot terbabit ditunda ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pangkalan Maritim Kemaman. - BERNAMA