KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis ketamin di Lembah Klang, dan menahan lapan individu serta merampas dadah dianggarkan lebih 101 kilogram (kg) bernilai RM7.07 juta di Kepong di sini, Jumaat lepas. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata lapan individu termasuk seorang wanita berusia 30 hingga 54 tahun serta dalangnya yang berusia 38 tahun, ditahan di dalam sebuah stor barangan lusuh. "Polis yang menyerbu bahagian belakang kontena menemukan dua beg mengandungi tiga bungkusan plastik dadah ketamin lebih dua kilogram, tiga paket plastik berisi ketamin 198 gram, sebotol kaca berisi cecair klorofom dan sebotol plastik cecair isopropyl alkohol. "Turut dirampas tiga bagasi yang mengandungi 27 bungkusan plastik berisi ketamin anggaran berat 99kg yang ditemukan di kawasan semak berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, Isnin. Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas di sekitar Lembah Klang dan dadah dipercayai diperoleh dari luar negara untuk pasaran tempatan. Amar Singh berkata pihaknya turut percaya dalang sindiket terbabit dipercayai anggota kongsi gelap Kumpulan 36. Beliau berkata ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang menagih dadah dan hasil ujian saringan mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine. Amar Singh berkata kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA