KUALA LUMPUR: MIC akan mengadakan majlis rumah terbuka sempena perayaan Deepavali di perkarangan Batu Caves pada 29 Oktober ini. Setiausaha Agung MIC, Datuk A. Sakthivel berkata, kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis yang akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1 tengah hari. "MIC menjemput anggota masyarakat daripada berbilang bangsa untuk memeriahkan majlis itu," katanya kepada Bernama di sini, Isnin. Sakthivel berkata, tetamu juga akan disajikan dengan pelbagai makanan tradisional serta persembahan kebudayaan kaum India pada majlis itu. Menurut Persatuan Hindu Sangam Malaysia, perayaan Deepavali tahun ini akan disambut pada 29 Oktober ini di seluruh dunia. Penganut Hindu menyambut Deepavali pada Saturthasi Tithi iaitu hari ke-14 dalam bulan Iypasi berdasarkan kalendar panjangam Hindu.-- Bernama