suria

Perhilitan Selamatkan Anak Beruang Matahari, Kucing Batu

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an untuk menyeludup seekor anak beruang matahari berjaya dipatahkan apabila suspek ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi Ops Taring IV di Kuala Lipis, Pahang pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, lelaki yang dipercayai bekerja kampung itu ditahan di sebuah hotel hasil maklumat orang ramai dan pemantauan Unit Perisikan jabatan itu selama sebulan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anak beruang betina berusia sebulan itu diseludup masuk dari negara jiran melalui Rantau Panjang sebelum dibawa suspek ke Kuala Lipis, Pahang dipercayai dalam proses untuk dijual.

"Lelaki itu ditangkap kerana memiliki seekor anak beruang matahari tanpa permit khas. Suspek juga menawarkan anak beruang tersebut di Facebook untuk dijual," katanya pada sidang media di Pejabat Perhilitan di sini, Selasa.

Abdul Kadir berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 69 (1) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu memburu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya yang tidak matang tanpa permit khas," katanya.

Menurut beliau, anak beruang itu akan menerima rawatan daripada Jabatan Veterinar sebelum dipindahkan ke Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar, Sungkai, Perak.

Lima kucing batu antara yang berjaya diselamatkan akan dilepaskan ke dalam hutan selepas selesai dirawat Jabatan Veterinar.

Sementara itu, Perhilitan turut menyelamatkan tujuh kucing batu dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Ampang, Selangor pada Jumaat lalu.

"Lima ekor kucing itu tidak mempunyai permit khas, manakala dua lagi ada permit khas tetapi alamat penempatan dalam permit itu berbeza dengan premis hidupan liar tersebut dijumpai," katanya.

Abdul Kadir berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dan bersekongkol dengan penjenayah hidupan liar.

"Oleh itu, kami menasihati orang ramai yang masih menyimpan atau memelihara hidupan liar secara haram agar tampil membuat serahan dan memberi kerjasama kepada jabatan ini," katanya.




Artikel Sebelum

Minuman Starbucks Halal - Jakim

Artikel Berikut

Artikel Lain