PETALING JAYA: Mulai 29 Oktober hingga 31 Disember ini, penebusan setiap beg mesra alam akan menyumbangkan RM1 kepada badan kebajikan dan alam sekitar di Lembah Klang. Sebanyak 25,000 beg berkenaan disediakan menerusi kempen 'Bring Your Orange Bag 2' (BYOB2), anjuran Guardian Health and Beauty Sdn Bhd (Guardian) sempena sambutan Hari Alam Sekitar tahun ini. Pengarah Pemasaran Guardian, Christina Low berkata, pihak Guardian mengambil peluang untuk menderma RM1 bagi setiap beg yang ditebus. Katanya, dua pertubuhan yang dikenal pasti adalah Dignity for Children Foundation dan Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights. “BYOB kali kedua ini masih mengekalkan objektif bagi menggalakkan penggunaan beg mesra alam sebagai initiatif untuk memelihara kesejahteraan alam sekitar,” katanya. Sebanyak 25,000 beg boleh ditebus di seluruh rangkaian kedai Guardian untuk tempoh yang ditetapkan, dengan pembelian RM120 ke atas bagi pemegang kad CIMB, manakala RM180 ke atas bagi bukan pemegang kad CIMB. Bagi kempen BYOB tahun ini, beg oren ini direka khas oleh Marie Sydonie, yang merupakan bekas model catwalk dan kini seorang pereka fesyen serta pengasas Sydonie Apparel. Sementara itu, Pengarah Program EcoKnights, Fadly Ahmad Bakhtiar pula berkata, setiap dana yang diperoleh menerusi kempen itu akan digunakan untuk mengadakan bengkel ‘Garbage to Garden’ pada setiap bulan di sekitar Lembah Klang. “Sokongan Guardian dapat membantu kami mengadakan bengkel di sekolah sekitar Lembah Klang pada tahun depan sebelum dikembangkan ke seluruh negara,” jelasnya. Katanya, bengkel uty untuk komuniti mempelajari cara guna semula sisa kebun, makanan dan bahan untuk tanaman di kawasan perumahan.