JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan wad diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) digunakan untuk menempatkan pesakit susulan kebakaran yang memusnahkan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. Baginda bertitah ketika berkenan melawat hospital itu berikutan kejadian yang mengorbankan enam pesakit pada pagi Selasa. Sultan Ibrahim tiba di HSA dari Mersing pada 1.50 petang dan diberi taklimat oleh pelbagai agensi dan kakitangan hospital berhubung insiden itu. Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah juga berkenan melawat hospital berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari. Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden itu memberi pengajaran kepada pihak berkuasa negeri supaya kejadian sama tidak berulang. "Bangunan lain dalam kawasan HSA dalam keadaan selamat. Kami akan meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat punca kebakaran," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan. Mohamed Khaled turut mengucapkan takziah buat keluarga terlibat dan kerajaan negeri akan membantu keluarga waris yang terkorban. "Majlis Agama Islam Johor (Maij) akan memberi bantuan RM100,000 buat semua keluarga mangsa, dan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan yang diperlukan keluarga waris," katanya. Terdahulu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim menerusi laman Facebook menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.