PETALING JAYA: Sempena Minggu Alam Sekitar peringkat kebangsaan, lebih 200 menyertai acara Enviro Hunt 2016 yang berlangsung di Taman Botani Kepong, dekat sini, baru-baru ini. Acara anjuran Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) itu bagi usaha memastikan alam sekitar berada dalam keadaan baik. Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya berpuas hati kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan. "Selain peserta, acara itu turut dimeriahkan dengan penyertaan pengurusan tertinggi dan kakitangan Worldwide Holdings. "Peserta bukan sahaja diuji dari segi tahap kecerdasan minda, malahan melibatkan ketahanan fizika," katanya. Norazlina berkata, lokasi acara itu sesuai kerana ia dapat memupuk kecintaan masyarakat terhadap kehijauan alam semulajadi, menyayangi dan menghargai bumi. Program dengan kerjasama anak syarikat, Worldwide Landfills Sdn Bhd ini melibatkan perjalanan sejauh empat kilometer yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu terbuka dan tertutup. Ia berlangsung selama empat jam termasuk dimeriahkan dengan acara sampingan lain seperti senamerobik, berbasikal dan sesi soal jawab.