suria

Himpunan Pemuda Desak Guan Eng Letak Jawatan

Lebih 1,000 anggota pergerakan Pemuda Umno negeri berhimpun dan berarak ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletak jawatan berikutan pertuduhan rasuah yang dihadapinya. -fotoTHESTAR/ZainudinAhad
GEORGE TOWN: Lebih 1,000 anggota pergerakan Pemuda Umno negeri pada Rabu berhimpun dan berarak ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletak jawatan berikutan  pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Naib Ketua Pemuda Umno pusat Khairul Azwan Harun berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk menunjukkan solidariti dalam kalangan anggota Pemuda dan membuktikan anak muda menolak kepimpinan DAP di Pulau Pinang.

"Lim tidak layak lagi memegang jawatan ketua menteri kerana beliau sendiri sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah dan beliau sudah hilang  kredibiliti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil ketua menteri di Komtar, di sini Rabu.

Memorandum yang ditandatangani oleh kesemua 12 ketua Pemuda Umno bahagian Pulau Pinang itu diterima oleh Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Zahar Zainul.

Peserta Himpunan Pemuda Bangkit itu mula berkumpul di Menara Umno negeri pada 1.30 tengah hari dengan semuanya berbaju hitam sebelum mereka berarak ke Komtar untuk menyerahkan memorandum itu.

Mereka bersurai secara aman sejam kemudian setelah diarahkan oleh polis.

Khairul Azwan berkata antara tuntutan yang disenaraikan dalam memorandum itu ialah meminta kerajaan negeri membina lebih banyak perumahan kos rendah; menangani pembangunan negeri yang tidak terkawal; dan menghalang aktiviti tambakan laut.

Beliau berkata Himpunan Pemuda Bangkit ini akan berterusan sekiranya Lim enggan meletak jawatan sebagai ketua menteri.

"Saya boleh memberi jaminan selagi Lim enggan meletak jawatan, Perhimpunan Pemuda Bangkit ini akan terus diadakan di mana-mana sahaja pada bila-bila  sahaja, untuk mendesak peletakan jawatan beliau," katanya.

Artikel Sebelum

Bapa Mentua Tetak Menantu

Artikel Berikut

Artikel Lain