suria

Kutipan Cukai 2016 Dijangka Lebih Rendah - LHDN

KUALA LUMPUR: Kutipan cukai langsung pada 2016 dijangka menurun lagi akibat keadaan ekonomi tidak menentu dan kejatuhan harga minyak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Mohd Shukor bagaimanapun berkata, pihaknya optimis untuk mengekalkan angka kutipan tiga digit bagi tahun ini.

"Sasaran (kutipan cukai) bagi 2016 adalah lebih rendah sedikit berbanding 2015 kerana akibat kejatuhan harga minyak, kerajaan bersetuju untuk kita meminda jumlah yang lebih rendah berbanding 2015.

"Bagaimanapun kita mempunyai masa dua bulan lagi untuk meneruskan usaha-usaha (perolehan kutipan cukai)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2016 di sini, Khamis.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Lee Chee Leong.

Terdahulu, dalam ucapan Chee Leong berkata, LHDN berjaya mengutip kutipan cukai langsung berjumlah RM121.236 bilion pada 2015.

Sejak kegawatan ekonomi melanda negara pada 1997, LHDN mencatatkan kutipan tiga digit bermula 2011 berjumlah RM109.609 bilion, dan jumlahnya terus meningkat sehingga 2014 dengan RM133.7 bilion.

Menurut Laporan Ekonomi 2016, kutipan cukai langsung bagi tahun ini dijangka berjumlah RM115 bilion.

Mohd Shukor berkata, selain kejatuhan harga minyak, senario dua tahun kebelakangan ini disebabkan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Dengan pengenalan GST, katanya, kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan yang mendorong kepada penurunan jumlah kutipan cukai.

"Kita berharap apabila GST dapat distabilkan, keadaan ekonomi akan pulih semula dan LHDN akan meneruskan usaha untuk memastikan kejatuhan harga minyak tidak memberi kesan negatif kepada pungutan cukai," ujar Mohd Shukor.

Menurut Mohd Shukor, pelbagai usaha untuk memastikan kutipan cukai pada 2016 kekal dengan tiga digit iaitu lebih RM100 bilion.

Beliau menambah, antaranya adalah pengubahsuaian Bajet 2016 awal tahun ini dan tawaran pengurangan penalti bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai dan pengelak cukai.

"Kita dapati bila pengakuan secara sukarela diperkenalkan pada 2015, LHDN memperoleh tambahan RM1 bilion di kalangan pembayar cukai.

"Bagi tahun ini, kita berharap terdapat pertambahan jumlah kutipan menerusi pengakuan secara sukarela. Dengan pertambahan itu, maka keadaan tidak begitu teruk," katanya.

Awal tahun ini, LHDN menawarkan pengurangan penalti pada kadar tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac sehingga 15 Disember.

Ia bertujuan untuk menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan tahun ke belakang dan menyelesaikan jumlah tunggakan cukai.



LHDN, Mohd Shukor Mahfar, GST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain