suria

PAS Harap Kerajaan Bertindak Terhadap 'Pelampau Media'

Abdul Hadi sewaktu tiba di Angkasapuri untuk melakukan kunjungan hormat kepada Salleh Said Keruak pada Khamis.
 -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: PAS berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap golongan yang disifatkannya sebagai 'pelampau media' yang menyebarkan pembohongan mengenai pelbagai perkara menerusi kemudahan teknologi maklumat.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihak berkuasa terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu melakukan kawalan sebaik-baiknya bagi membendung keadaan itu daripada terus berleluasa.

"Kita berada dalam zaman yang mana bukan hanya muncul golongan pelampau yang menggunakan senjata, tetapi yang paling membimbangkan adalah kemunculan golongan pelampau media dan kita lihat hari ini pembohongan disebarkan ke seluruh dunia.

"Di sini peranan kementerian iaitu selain melakukan kawalan, ia perlu memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya di Angkasapuri di sini, Khamis.

Abdul Hadi yang disertai Naib Presiden Pas Idris Ahmad pada pertemuan itu, berkata beliau dan Salleh juga berbincang mengenai isu penculikan di Selatan Filipina yang mana rakyat negara ini menjadi mangsa.

Dalam hubungan itu beliau menawarkan diri untuk membantu jika kerajaan dapat menyediakan saluran untuknya berhubung dengan tokoh-tokoh Islam di Selatan Filipina bagi mencari penyelesaian untuk membebaskan mereka yang diculik.

"Di sana ada tokoh-tokoh agama, maka mereka perlu kita hubungi untuk membantu membebaskan mereka yang diculik tetapi ia perlu dilakukan melalui saluran kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas Salleh terhadap isu-isu yang dibangkitkan, Abdul Hadi berkata Salleh memberikan reaksi positif dan akan mengambil langkah-langkah sesuai melalui kementeriannya.

Ditanya sama ada ada sebarang perbincangan berhubung kerjasama PAS dan Umno berlaku pada pertemuan itu, Abdul Hadi berkata: "Tidak. Tidak ada kerjasama.

Kita mahu jadi pembangkang yang memberi nasihat, kita bersatu dalam perkara yang sama dan tidak berpecah dalam perkara yang berbeza."

Abdul Hadi Awang, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain