NIBONG TEBAL: Mayat lelaki yang dipercayai terjun dari jambatan kedua Pulau Pinang dalam kejadian dua hari lalu ditemui pihak berkuasa pada Jumaat. Mayat Mohd Shukri Saad, 38, ditemui kira-kira pukul 9 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian bersama beg galas. Dia ditermui kira-kira empat kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Pihak berkuasa masih menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Sungai Bakap untuk mengesahkan identiti mangsa. Dilaporkan pada Rabu lalu bahawa Mohd Shukri dari Lahar Yooi, Tasek Gelugor dikatakan menunggang motosikal dan meninggalkannya di lokasi berkenaan bersama telefon bimbit, sebelum menghilangkan diri. Pihak bomba menerima panggilan pada jam 8.40 pagi, mengenai seorang lelaki yang dipercayai terjun di kilometer 11.3 jambatan berkenaan arah Batu Maung. Kehilangan mangsa disedari oleh seorang anggota peronda yang menemui sebuah motosikal ditinggalkan di lokasi terbabit.