suria

Penyelidik Temui Kesan Barangan Peribadi Dipercayai Milik Tentera Jepun

Bangkai pesawat yang dipercayai pesawat pengebom tentera Jepun yang ditemui oleh Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) dan penduduk kampung di kawasan Pagoh, Johor ketika era perang. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik sejarah tempatan mendakwa menemui kesan barangan peribadi dipercayai milik tentera Jepun sewaktu pesawat yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Pagoh, Johor ketika era perang.

Ketua Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) Shaharom Ahmad berkata ia meliputi cermin mata, tali pinggang dan tali payung terjun yang menunjukkan tentera Jepun itu dipercayai tidak sempat terjun keluar sebelum pesawat itu terhempas.

"Kajian dan siasatan awal di kawasan bangkai pesawat menunjukkan ada bukti bahawa kru pesawat tersebut mungkin terkorban. Namun, atas beberapa faktor, mayat tidak dapat ditemui.

"Faktor tersebut adalah cuaca dan dua kebakaran hutan yang memusnahkan sebahagian bangkai pesawat. Bangkai pesawat itu pula ditemui di kawasan bekas paya dan jika ada rangka manusia, rangka tersebut telah terendam di dalam air selama 70 tahun.

"Oleh kerana faktor tersebut, kami tidak berjaya menemui mayat tentera Jepun kecuali kesan barangan peribadi milik mereka. Selepas sampel barangan itu diperiksa dan dianalisis baru-baru ini, ia disahkan milik tentera Jepun yang terkorban," katanya kepada Bernama di sini.

Shaharom berkata pihaknya kemudian menghantar hasil kajian tersebut kepada Kedutaan Jepun untuk tindakan lanjut namun mereka tidak dapat memberi keputusan sama ada ia memang milik tentera negara itu.

"Melalui emel yang diterima daripada Kedutaan Jepun, pihak mereka menunggu pengesahan wujudnya bukti fizikal adanya mayat tentera sebelum boleh memberi kerjasama sepenuhnya.

"Sekiranya anda (MHG) ada sebarang maklumat tentang penemuan mayat manusia, terdapat kemungkinan bahawa mereka (Kerajaan Jepun) mungkin melakukan 'kajian terperinci' untuk mengesahkan bahawa mayat manusia itu dahulunya merupakan tentera Jepun," kata Shaharom.

Mengulas lanjut mengenai saranan kerajaan Jepun itu, Shaharom berkata pihaknya percaya memang wujud kru pesawat tersebut yang terkorban dan boleh mengaitkannya dengan penemuan kesan barangan peribadi.

Namun katanya, kajian mendalam untuk mengesahkan wujud mayat tentera tersebut tidak dapat dijalankan pihaknya kerana masalah teknikal seperti kekurangan peralatan.

Sementara itu, Shaharom berkata Muzium Mersing di bawah Yayasan Warisan Johor telah mengeluarkan bangkai pesawat tersebut minggu lepas untuk tujuan pembersihan dan seterusnya akan dipamerkan kepada umum kelak.

Shaharom turut terkilan dengan perbuatan sesetengah pihak yang bertindak merosakkan tinggalan perang sebegini dengan mengambil komponen besi bangkai pesawat tersebut tanpa memikirkan nilai-nilai sejarahnya.

"Yang tinggal hanya komponen-komponen besar yang sukar untuk diangkut keluar, komponen kecil pula sudah diambil. Mereka lebih memikirkan nilai besi buruk dan bukannya nilai sejarah," katanya.

Dilapor, penemuan bangkai pesawat pengebom Jepun yang dinamakan 'Kawasaki Ki-48' atau dikenali sebagai 'Army Type 99 Twin Engine Light Bomber' tersebut ditemui oleh MHG dengan kerjasama Muzium Mersing dan penduduk Pagoh dua tahun lalu. 

Artikel Lain