HULU TERENGGANU: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan menggunakan khidmat radio amatur di kawasan yang mengalami gangguan liputan komunikasi ketika banjir melanda. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari berkata pihaknya telah mengadakan kerjasama melalui SKMM dengan beberapa persatuan radio amatur dalam usaha melicinkan perjalanan bantuan bencana dan proses menyelamatkan mangsa banjir. "Di peringkat kementerian, di bawah agensi kita sendiri, pihak SKMM telah bekerjsama dengan persatuan radio amatur dan mereka akan menjadi penghubung antara kita dan masyarakat sekiranya berlaku banjir, kerana bila berlaku banjir kadangkala ada beberapa kawasan yang mengalami gangguan liputan komunikasi. "Insya-Allah dengan kerjasama pihak kerajaan melalui SKMM dan radio amatur, ianya akan dapat melicinkan lagi proses menguruskan mangsa banjir," katanya kepada pemberita semasa melawat penduduk yang sakit melarat di Kampung Dusun di sini, Jumaat. Jailani yang juga Anggoata Parlimen Hulu Terengganu berkata pihak SKMM juga telah mengadakan simulasi banjir di peringkat wilayah pantai timur pada September lalu dengan melibatkan beberapa agensi untuk memastikan semua pihak berada dalam keadaaan siap siaga bagi menghadapi banjir. "Di peringkat Parlimen, kita sedang mengenal pasti golongan muda untuk menjadi sukarelawan ketika banjir. Insya-Allah kita akan libatkan persatuan belia dan pemuda serta Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu untuk membantu penduduk sewaktu banjir. "Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu serta dengan beberapa agensi lain untuk persiapan banjir kerana di daerah ini setiap tahun memang ramai penduduk yang terjejas akibat banjir terutamanya di kawasan pedalaman," katanya. Jailani berkata lebih lima pusat pemindahan baharu juga telah dibina di kawasan Parlimen tersebut sejak dua tahun melibatkan peruntukkan kira-kira RM200,000 untuk setiap pusat pemindahan. "Pusat pemindahan baharu ini telah kita bina antaranya di Kampung Kuala Ping, Kampung Padang Setar dan Kampung Nibong yang mana pusat pemindahan lama tidak sesuai dan ada antaranya sebelum ini berpindah di surau dan masjid, jadi kita bina pusat pemindahan baharu untuk penduduk. "Pusat pemindahan ini dilengkapi dengan kemudahan tandas yang mana pusat pemindahan ini juga dijadikan sebagai kelas untuk menjahit dan dilengkapi ruangan seperti pejabat untuk penduduk gunakan ketika tidak banjir," katanya. Dalam kunjungan tersebut, Jailani turut menyampaikan sumbangan berupa wang dan barangan dapur.