suria

Kerja Pembinaan Landasan EDTP Bermula Bulan Depan

Liow Tiong Lai.

SEGAMAT: Kerja pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) yang dijangka menelan kos RM7.13 bilion akan bermula bulan depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerja pembinaan landasan sejauh 197 kilometer itu, dijangka siap pada penghujung 2020.

"Kita berharap kerja pembinaan landasan itu akan memberi kesan ekonomi yang cukup memberangsangkan di Johor dan negara secara keseluruhannya," kata Liow kepada pemberita di sini Sabtu.

Terdahulu, beliau melawat kawasan landasan kereta api dan sekitarnya yang dijangka diambil alih sebagai zon penampan untuk EDTP.

Liow turut melawat zon penampan yang berdekatan dengan tokong Pertubuhan Penganut Dewa Tai Poh Yah dekat sini. 

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan juga akan melihat semula tanah yang dicadang diambil alih sebagai zon penampan landasan berkembar elektrik itu supaya tidak mengganggu aktiviti masyarakat sekitar.

Ini adalah susulan rayuan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Penganut Dewa Tai Poh Yah mengenai pengambilalihan tanah mereka untuk dijadikan zon penampan.

"Apabila projek ini dilaksanakan, dari segi teknologi ia boleh mengurangkan penggunaan tanah untuk zon penampan. Kita akan lihat sama ada boleh kurangkan kawasan pengambilan tanah untuk zon penampan," kata Liow.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa prihatin dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk masyarakat yang terlibat kerana memberi sokongan kepada pembinaan landasan itu supaya dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pembinaan landasan sepanjang 197 kilometer dan melalui beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru, bakal menyaksikan kereta api mempunyai kapasiti had laju reka bentuk sehingga 160km/jam manakala had laju operasi 140km/jam.

Sementara itu, mengulas insiden tren kargo tergelincir berdekatan Stesen Batu Gajah semalam, beliau berkata arahan telah diberikan supaya Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mempercepatkan pengalihan tren kargo dengan sekurang-kurangnya satu landasan boleh digunakan mulai Ahad.

"Saya telah arahkan KTMB mempercepatkan kembali perkhidmatan ETS dari Kuala Lumpur-Ipoh," kata Liow.

Beliau berkata perkhidmatan ETS dijangka pulih dalam masa 48 jam, dengan sekurang-kurangnya satu landasan dapat digunakan.

"Kerajaan prihatin dengan masalah rakyat yang menggunakan ETS. Buat masa ini, KTMB menggunakan bas dari Batu Gajah ke Ipoh dan dilaksanakan sejak semalam dan hari ini menggunakan 36 bas," kata beliau.

Pada kejadian 3.15 pagi Jumaat, tren kargo itu dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen, tergelincir di KM200.332 berdekatan Stesen Batu Gajah, Perak. - BERNAMA

Artikel Lain