KUALA LUMPUR: All Nippon Airways (ANA), syarikat penerbangan terbesar Jepun, memperkenalkan penerbangan baharu antara Haneda dan Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner. Majlis sambutan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut ketibaan dan pelepasan pertama penerbangan Haneda-Kuala Lumpur-Haneda. Para penumpang disambut oleh kumpulan kebudayaan Malaysia, bersama dengan Pengurus Besar Cawangan KL, All Nippon Airways Co. Ltd, Roy Gay, dan Pengurus Besar Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohd Arif Jaafar. "Malaysia Airports gembira untuk menyambut penerbangan baharu ANA dari Lapangan Terbang Haneda dan laluan baharu ini akan terus mempromosikan status KLIA sebagai hab pilihan di rantau ini. "Pelancong dari Jepun kini akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk akses ke Kuala Lumpur dan saya yakin dengan pelancaran laluan baharu ini, ia juga akan meningkatkan imej dan reputasi ANA sebagai saluran pengangkutan dalam kalangan pelancong di rantau ini," kata Mohd Arif dalam kenyataan Ahad. Perkhidmatan harian ANA berlepas dari KLIA pada 2.15 petang (MST) dan tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada 10.15 malam (JST). Penerbangan pulang berlepas dari Tokyo pada 12.05 pagi (JST) dan tiba di KLIA pada 6.35 pagi (MST). Dengan menawarkan perkhidmatan baharu pada waktu malam berbanding perkhidmatan sedia ada pada waktu siang antara Narita dan Kuala Lumpur, ANA memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk akses ke Kuala Lumpur dari Jepun. Lapangan Terbang Haneda terletak kurang 30 minit ke selatan pusat bandar Tokyo, lebih dekat dengan pusat bandar berbanding lapangan terbang antarabangsa yang lain di Tokyo, Lapangan Terbang Narita.