suria

Pengusaha Makanan Tak Boleh Guna Minyak Masak Bersubsidi Untuk Berniaga

LANGKAWI: Pengusaha premis menjual makanan di Langkawi boleh dikenakan tindakan jika didapati menggunakan minyak masak bersubsidi dalam perniagaan mereka.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Langkawi, Shamnaziman Mohamed Taulan hari ini berkata minyak masak bersubsidi ini hanya terhad untuk penggunaan persendirian dan bukannya untuk kegunaan berniaga.

"Ini yang menjadi isunya yang menjadikan pembelian panik dan bekalan di rak kedai berkurangan sebab peniaga membeli dalam kuantiti yang banyak," katanya di sini.

Walaupun belum ada aduan kekurangan bekalan diterima setakat ini di sini, beliau berkata pemantauan menyeluruh akan diteruskan yang bukan hanya melibatkan premis perniagaan menjual minyak masak, malah premis menjual makanan dan barangan pengguna.

"(Penggunaan domestik minyak masak) biasanya di antara 1kg ke 5kg sahaja dalam sebulan tapi kalau sudah sampai 100kg atau satu tan (sebulan) tentulah tak logik. Kita akan buat siasatan," katanya.

Shamnaziman berkata kerjasama kementerian itu bersama-sama agensi-agensi penguatkuasaan lain di Langkawi setakat ini berjaya menghalang sebarang cubaan menyeludup minyak masak keluar ke negara-negara berdekatan.

"Kita telah bekerjasama dengan (Jabatan) Kastam dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) bagi menangani isu penyeludupan di sempadan. Setakat ini tiada ketirisan," katanya.

Pada Rabu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Di bawah penstrukturan semula itu, harga minyak masak paket 1kg kekal pada RM2.50 tetapi minyak masak di dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.

Katanya penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses (olein) daripada RM2,341 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sekarang. - BERNAMA

minyak masak bersubsidi, peniaga

Artikel Lain