suria

Pendengaran Rayuan Kes Sosilawati Ditangguh, Tertuduh Jatuh Sakit

Allahyarham Sosilawati Lawiya.

PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya ditangguhkan ke hari Khamis berikutan seorang daripada tertuduh jatuh sakit dan terpaksa dikejarkan ke hospital petang Selasa.

Prosiding mahkamah sepatutnya dijalankan semula pada sebelah petang selepas berhenti waktu makan tengah hari bila R. Kathavarayan, seorang daripada tertuduh diberikan sebotol air untuk minum dan seterusnya dibawa ke lokap polis yang terletak di basemen bangunan mahkamah.

Peguam T. Vijay memberitahu pemberita bahawa anak guamnya Kathavarayan, 36, memberitahunya yang ia berasa amat mengantuk dan Vijay mendapati tangannya sejuk dan dia seolah-olah tidur.

"Dia menyatakan dia rasa tertekan memandangkan hari ini hari jadi anak lelakinya dan dia tidak dapat bersama anaknya itu," kata Vijay, dan menyatakan ambulans dipanggil untuk segera menghantar Kathavarayan ke hospital.

Vijay berkata pendengarn rayuan ditetapkan tujuh hari di hadapan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria terpaksa ditangguh hingga Khamis bagi mendapatkan laporan dari hospital berhubung keadaan Kathavarayan.

Kathavarayan, pekerja kebun; bekas peguam N. Pathmanabhan, 46; dan seorang lagi pekerja kebun Thilaiyalagan, 24; Matan, 25, merayu terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin.

Tertuduh didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013 melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting pada 30 Ogos 2010.

Mahkamah Rayuan pada 4 Disember tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman mati tersebut.

Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Idris Zainuddin mengakui bahawa mayat mangsa tidak ditemui tetapi itu tidak bererti perkara itu sudah berakhir.

Beliau berkata prinsip satu undang-undang kes Sunny Ang lwn Pendakwa Raya menyatakan seseorang tertutuh masih boleh disabit kesalahan bunuh sekalipun mayat mangsa tidak ditemui.

Saiful Edris berkata sekalipun tiada saksi melihat insiden itu, terdapat keterangan ikut keadaan dari anggota keluarga, sahabat dan saksi bebas dan rekod telekomunikasi yang menunjukkan bahawa Sosilawati dan tiga pembantunya berada di Ladang Gadong di Banting milik Pathmanabhan.

Beliau berkata terdapat bukti untuk menyokong keterangan ikut keadaan dari pembohongan sengaja oleh Pathmanabhan kepada bekas suami Sosilawati Buhari Mohamed yang beliau tidak melihatnya pada hari itu.

"Pathmanabhan menafikan menemui Sosilawati pada tarikh berkenaan. Tetapi keterangan lain mengikut keadaan menunjukkan sebaliknya," kata beliau. - BERNAMA

Sosilawati Lawiya, kes bunuh

Artikel Lain