suria

KPT Siasat Kegiatan Rasuah Di IPT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyiasat dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlakunya kegiatan rasuah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pensyarah.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian itu akan memastikan bahawa pelajar-pelajar yang didakwa terlibat itu adalah mereka yang masih di dalam program pengajian.

"Apabila dikatakan ada mahasiswa yang terlibat, ada yang dah keluar universiti (tamat pengajian). Jadi apa jua aduannya, saya nak pastikan mereka yang terlibat ni masih di dalam pengajian," katakanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil sebelum ini mendedahkan adanya pelajar IPT yang sanggup memberikan habuan kepada pensyarah bagi mendapatkan markah tinggi dan lulus peperiksaan.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah mereka yang terlibat dalam kegiatan itu adalah kecil.

Sementara itu menjawab soalan tentang status pembiayaan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (Phd) oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dikatakan telah dihentikan, Idris berkata beliau akan menyiasat hal berkenaan dengan agensi itu.

Perkara itu dibangkitkan oleh wartawan berikutan adanya aduan yang mendakwa dimaklumkan oleh pihak Mara bahawa agensi itu tidak lagi membiayai program pengajian Phd ke luar negara tetapi hanya program peringkat diploma di dalam negara.

"Selain Mara dan MyBrain, kita juga ada skim latihan akademik, skim geran penyelidikan dan banyak lagi badan lain yang mengeluarkan biasiswa untuk Phd," katanya. - BERNAMA

KPT, SPRM, IPT, Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain