suria

McDonald's Pertama Di Perak Akan Ditutup Selepas 30 Tahun Operasi

Restoran McDonald's yang terletak di Jalan Mustapha Al-Bakry akan ditutup pada 30 November ini selepas 30 tahun beroperasi. - The Star

IPOH: Restoran francais terkemuka McDonald's yang pertama dan tertua di Perak akan ditutup selepas 30 tahun beroperasi.

Mula dibuka sejak lewat 1980-an, restoran itu yang terletak di Jalan Mustapha Al-Bakry akan ditutup sepenuhnya pada 30 November ini.

Semasa The Star melakukan tinjauan, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, semua staf sudah dimaklumkan tentang penutupan itu.

"Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hal tersebut tetapi kami tidak mengetahui punca penutupan restoran itu.

“Kami hanya dimaklumkan bahawa semua staf akan dipindahkan ke cawangan lain” jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Low Yin Fong, 30, menyuarakan kesedihan apabila mendengar berita tersebut.

“Masa zaman sekolah dahulu, tempat ini merupakan salah satu tempat kegemaran untuk kami bertemu dengan rakan-rakan lain.

“Semasa kecil, mendiang pakcik saya selalu membawa saya dan sepupu ke sini untuk menikmati sarapan," ujarnya.

Selain itu, Yin Fong berkata, restoran berkenaan sangat unik kerana ia terletak di bangunan yang mempunya reka bentuk era penjajahan.

“Tidak semua cawangan McDonald's mempunyai reka bentuk sebegni.

“Saya akan singgah dan menikmati makanan di sana buat kali terakhir,” jelasnya.

Bagi seorang peniaga yang dikenali sebagai S.K. Lim, 46, berkata, tidak banyak cawangan restoran makanan segera di Ipoh ketika zaman mudanya.

“Ketika itu, jika dapat makan di McDonald's dianggap sebagai mewah.

“Sebulan sekali, saya akan bawa keluarga saya makan di sana ketika anak saya masih kecil.

“Kedua-dua anak saya suka pergi ke sana. Mereka sangat seronok kerana dapat bermain di ruang permainan kanak-kanak di tingkat satu.

“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke sana. Sekarang McDonald's boleh didapati di mana-mana sahaja,” tambahnya.

McDonald, Perak