suria

Polis Tahan Seorang Lelaki, Rampas Dadah Di KL

Anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen Kepong melakukan siasatan di kawasan kejadian dalam kes berbalas tembakan di Taman Layang-Layang Kepong pada Isnin. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dikesan aktif mengedar dadah di sekitar ibu kota, setelah insiden mengejar kereta suspek, sejauh lebih 10 kilometer di sini, Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata dalam kejadian pada kira-kira 2.20 petang itu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengesan sebuah Proton Perdana hitam di Batu 3 Jalan Ipoh,  yang dalam keadaan mencurigakan, sebelum meminta kedua-dua suspek berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya dua suspek yang berada di dalam kereta berkenaan terus memecut ke arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Sungai Buloh.

Berlaku insiden mengejar dan dalam usaha melepas kenderaan tersebut, anggota polis telah melepaskan dua das tembakan amaran.

Kereta suspek telah melanggar beberapa kenderaan awam di depan sebuah restoran, katanya dalam kenyataan di sini.

Tembakan yang terkena pada tayar dan bahagian belakang kereta berkenaan, menyebabkan suspek hilang kawalan dan seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri, katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui serbuk disyaki dadah, dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan Bernama mendapati berlaku kesesakan kira-kira tiga kilometer dari Bulatan Batu Caves hingga tempat kejadian di Kepong.

Polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata kes disiasat di bawah seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

rampasan dadah, PDRM

Artikel Lain